Ini masalah tidak yakin bahawa mempromosi Islam itu suatu yang indah, lazat malah matlamat sebenar perjuangan. Rasulullah s.a.w semasa menandatangani gencatan senjata dengan musyrikin Mekah dalam Perjanjian Hudaibiyah memang bertolak ansur menggugurkan gelaran "Rasulullah" yang dibantah oleh Saidina Umar kemudiannya memahami bahawa bertolak-ansur perlu demi damai. Damai itu merujuk pada berpeluangnya umat Islam menambahgandakan lagi usaha ibadah dan dakwah. Sirah ini bukan merujuk pengguguran matlamat demi damai, yang cuba dihalalkan oleh sesetengah pejuang PAS pada saya berkenaan relanya PAS membisu bila sekutunya menolak Daulah islam mentah-mentah.
Gencatan senjata itu sehingga 10 tahun, namun dalam 10 tahun itulah Rasulullah dan para sahabat menggandakan dakwah. Dakwah ertinya mempromosi Islam. Jika dulu ramai pejuang PAS berulangkali menegaskan usaha berpolitik mereka suatu dakwah kerana mereka mempromosi apa yang Islam boleh sumbang termasuk dalam bidang jenayah dengan hudud, hari ini bila mereka membiarkan pakatan mereka membuatkan mereka bisu dan tunduk bolehlah ertinya menghentikan dakwah untuk tersebar. Jika PKR berasa bangga menolak tuntutan Daulah Islam, bermakna bangga juga promosi ke atas apa yang Islam boleh sumbang yang diperjuangkan dalam Daulah Islam berhudud PAs dulu dihentikan. Bangga hudud tak dipromosikan. Ini seperti gencatan dakwah bertentangan dengan sirah dalam perjanjian Hudaibiyah dan apa yang Rasulullah tunjukkan tauladan dengannya.
Sebenarnya bertegas dengan prinsip dan matlamat Islam adalah intipati kejayaan gerakan Islam dulu termasuk Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Hamas di Palestin.
Bila cadangan AMMN seperti di atas terpacul mewakili mahasiswa melayu nasional, bermakna ada kemusykilan yang lebih teruk dan bahaya melanda pejuang muda iaitu tidak yakin Islam itu indah dan wajar menjadi teras dan peneraju. Mereka bukan golongan pertama kemusykilan Ustaz Hasrizal sebagai golongan muda tidakpedulisme, bukan golongan kedua yang ghairah mengharamkan demokrasi dan pilihanraya , bukan golongan ketiga kaum muda salafi yang menyeru taat setia pada pemerintah dan pembangkang sebagai khawarij, malah bukan juga kemusykilan ke empat sebagai golongan yang memaafkan kesilapan dan kesalahan , akan tetapi adalah kemusykilan yang lebih berat iaitu mereka yang sudah tak yakin dengan promosi Islam malah rela parti islami tunduk pada seruan liberal demokratik yang menolak Daulah Islam mentah-mentah.
Jadi jika muncul golongan dewasa yang pening kepala dan musykil seperti salah seorang pengunjung saifulislam itu, adalah petanda awal dan jawapan sebab musabab munculnya 4 golongan muda yang disebut ustaz hasrizal sendiri walaupun perinciannya adalah berbeza dan tidak difahami oleh kebanyakan orang tua mahupun ustaz hasrizal sendiri yang masih muda iaitu:
KEMUSYKILAN 1:
Tidakpedulisme orang muda yang lahir akibat Tidakdipedulisme oleh orang tua mahupun penggerak politik dan pilihanraya negara. Nasihat , harapan dan anjuran orang muda untuk orang tua membudayakan politik sihat, berakhlak dan aman tidak dipedulikan orang tua. Jika orang muda semasa pemilihan ketua kelas di sekolah diajar supaya calon-calon ketua kelas kekal mesra dan berkawan baik, hanya berkempen dengan akhlak dan suri tauladan, tapi orang tua berkempen dengan bermusuh dan menghentam hingga mentelanjangkan peribadi, mengaib dan memalukan orang dengan poster-poster sindiran dan tak berakhlak, memburuk-burukkan orang lain tanpa diri membuktikan lebih baik. Itu tidak sihat. Tidak bolehkah kalau hanya berbuat baik , bertegas dengan dasar dan matlamat, dan bersikap tawadhuk merendah diri serta mengajak orang lain sama membesarkan Allah bukan membesarkan diri dengan kempen "undilah aku, kerana aku boleh buat itu dan ini".
sebab itu harapan untuk orang melayu-islam umno dan pas berdamai selalu saja meniti di bibir siapa saja yang merenung politik tanahair. Tapi siapa yang berkeras mahu kekal bermusuh? Jika bukan golongan tua muda pendokong parti sedangkan majoriti golongan muda dan tua yang tidakpedulisme ini jika ditanya, "mahukah anda melihat umno-pas tidak lagi bermusuh?" mereka akan sahut " Tentu sekali mahu!". Malah mereka sanggup jadi pedulisme jika boleh menyatukan dua parti melayu-islam itu. Tidak hairan jika Parti Mahasiswa Negara yakin jika bertanding boleh beri alternatif buat awam yang kecewa dengan kedua-dua BN dan BA:
https://www.youtube.com/watch?v=Zx7feBzQdh0dengan kata-kata mereka "BN dan BA sudah tidak relevan". Namun masalah PMN ini di mana letaknya idea baru dan dasar mereka yang berbeza dengan BA dan BN, sekurang-kurangnya nyatakanlah seperti saya yang non partisan ini sudah nyatakan.
malah majoriti sahabat-sahabat saya yang tidak mendaftar mengundi iaitu mewakili berjuta bilangannya (bukan saya seorang saja tidak mendaftar) bukan kerana mereka tak peduli politik, malah sebahagian mereka ada pendirian politik yang jelas, akan tetapi semua pendirian mereka tidak dipedulikan oleh sesiapa, membuatkan mereka ambil keputusan untuk peduli pada bidang fokus mereka saja.
KEMUSYKILAN 2
Golongan yang menganggap demokrasi dan pilihanraya itu haram dan tidak islamik juga berkembang kerana pengamalnya tidak langsung menunjukkan ada daya islamik. Bolehkah idea bahawa demokrasi dan pilihanraya ini haram, berkembang jika semua pendukung demokrasi liberal mengangkat daulah Islam dan tidak menolaknya mentah-mentah seperti dibuat Anwar? atau aksi-aksi kempen pilihanraya mengekalkan daya upaya islamik dengan mengekalkan akhlak, budi pekerti, malah mengajak orang banyak membesarkan Allah berbanding kempen menaikkan diri sendiri yang langsung tak sunnah? Idea golongan ini takkan berkembang jika semua pengamal demokrasi tidak merujuk barat untuk memegang definisinya.
Apa jadi bila perhimpunan rakyat seperti HINDRAF disokong untuk berhimpun kerana akur bahawa demokrasi menghalalkannya keluar dari mulut pimpinan parti islami? bolehkah perhimpunan yang bermatlamat jahat diberikan hak untuk berhimpun dalam Daulah Islam berhudud? Jika pimpinan parti islami merujuk demokrasi islam (walaupun tak tahu nak rujuk negara mana) dalam setiap huraian demokrasi, maka boleh juga kita bersangka baik bahawa demokrasi itu tak merujuk barat. Tapi jika definisi demokrasi akhirnya merujuk kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, kebebasan beragama yang dituding ke arah Amerika untuk tahu sudah cukup demokratik atau tidak kebebasan kita, maka jelaslah pendokong demokrasi tak ada pilihan lain selain merujuk barat.
Memang ada usaha mengaitkan unsur demokrasi juga suatu yang islamik, dengan erti kata lain demokrasi islamik adalah merujuk maqasid syariah. Jika begitu, untuk jadi pejuang demokrasi yang islamik yang bukan menuding jari ke arah Amerika untuk menilai demokratiknya sesebuah polisi, maka mahu tak mahu kena jadi pejuang maqasid syariah. Oleh itu, nak tapis-tapis apa lagi tong najis untuk dibuat minum supaya jadi gelas, jika gelas sudah ada untuk dibuat minum. Kita mungkin perlukan sesuatu dari Barat jika Islam tidak mengkhususkannya, kita boleh pakai kereta barat, internet barat, mahupun telefon barat kerana Islam tak mestikan supaya guna unta, surat dengan utusan berkuda, supaya jadi pejuang sunnah.
Jika demokrasi dan pilihanraya menjadi islamik tidak mungkin golongan kemusykilan ini akan muncul.
KEMUSYKILAN 3
Begitu jugalah dengan fahaman bahawa pembangkang itu khawarij, tak akan muncul jika semua pembangkang jadi pencadang yang mengajak pada hubungan bersaudara dan tidak bermusuh.
bagaimana mungkin kita mahu menuding muka pembangkang sebagai khawarij jika muka yang kita tuding itu orang yang senyum dengan kita, ziarah kita ketika sakit dengan bawa buah tangan, bila mengkritik mereka bukan sekadar kritik tetapi berikan jalan penyelesaian , dengan akhlak, dengan lembut, dengan sopan gentlemen, tunduk merendah diri dengan penuh keinsafan. Orang pun takkan termakan dengan dakwa dakwi khawarij yang kita buat.
Satu perkara lagi yang cukup penting untuk tampil sebagai pencadang lebih dari gelaran "pembangkang yang suka bangkang", adalah bersyukur bila cadangan yang dibuat dipraktik oleh musuh politik kita. Kita cadangkan "bantu orang susah", musuh kita bantu orang susah. Kita cadangkan "bagi orang miskin makan" musuh kita bagi orang miskin makan. Kita cadang "laksana hudud" musuh kita laksana hudud. Yang kita panjatkan adalah syukur kerana musuh kita laksanakan cadangan kita, bukannya kita kempen "itulah musuh kita asyik tiru saja cadangan kita". lepas itu sanggup pula berkata,"kami tak mahu kemukakan cadangan dengan terbuka, nanti kena tiru, undi kami dulu, bila menang baru kami tunjuk cadangan kami". Apa hal?
masalah untuk mengenalpasti imej pembangkang yang mana patut diambil supaya sesuai dengan perjuangan islami dan dakwah mengikut sunnah adalah punca kemusykilan golongan muda yang jadi ultra salafi lalu menuduh semua pembangkang adalah khawarij. Jika hijrah pada identiti pembangkang menjadi pencadang yang bertaqwa , seruan ultra salafi tak akan mendapat sambutan malah ultra salafi itu yang akan jadi khawarij.
KEMUSYKILAN 4
Sebab itu golongan muda yang duduk dalam kemusykilan 4 seperti yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal jangan jadi golongan selesa dengan mendakwa "aku adalah golongan 4" jika satu haram idea dan pemikiran tak dibentangkan. Jika mengikut saja mana-mana pemikir muda bentangkan apa-apa idea lalu disambut dengan "wah, syabas" , "hebatnya", "bagus, terkesima aku", "keep it up, salam ziarah" yang bertebaran dalam mana-mana ruang komen laman-laman web hanyalah menjadi golongan musykil yang menginsafi tetapi tidak ada hala tuju mahupun idea yang tegas.
Lebih malang jika jadi golongan pengampu yang bila datang orang memberikan idea kontra pada pemikir yang mereka puja, langsung menghambat dengan "apa ni kurang ajar datang rumah orang cakap kasar-kasar". Padahal mereka pun tetamu juga, bukan tuan rumah pun.Tetamu yang cuba untuk menghambat tetamu lain selayak seperti dia tuan rumah, adalah kurang ajar yang nyata.Jika betul kasar ayatnya , memang layak dihambur sebagai kurang ajar. Tapi jika ayatnya cuma tegas dengan baris ayat cukup sastera dan tidak mengandungi perkataan caci maki, itu bukan kurang ajar malah cukup terpelajar, kerana ada juga yang cuba diajarnya, dari jadi orang yang mengampu semata-mata.Idea pun cuma ulang kopi pasta dari tulisan pemikir yang mereka ampukan itu saja.
Bukan saya mewajibkan semua orang jadi pemikir. Tapi berusaha berfikirlah, dan seruan mengajak pada berfikir ini adalah selari dengan aspirasi qurani dengan akhiran kalamNya menyebut "tidakkah kamu berfikir".
Apa yang saya ingin tekankan di sini adalah, walaupun pilihanraya bersama parti politik yang ada kini sangat memusykilkan kita atas kecelaruan mereka, semua itu boleh diseimbangkan jika:
1- Pimpinan parti politik meletakkan semua kesamaran menjadi jelas
2- pendokong dan penyokong parti politik mengubah suasana politik menjadi islamik
3- bangkitnya pemikir dan idea-idea bernas untuk menenggelamkan gosip politik murahan dan pergaduhan taraf kanak-kanak tadika di kalangan pelepak-pelepak warung politik.